Maksud:
Ciri khusus Islam yang pertama ialah rabbani. Islam sebagai agama rabbani membawa maksud bahawa Islam itu dari Allah.
Segala hukum, konsep, prinsip, nilai dan neraca yang terdapat dalam Islam adalah dari Allah. Manusia, hatta Rasulullah saw sendiri terlibat dalam penciptaan dan penggubalannya. Peranan manusia hanyalah terbatas kepada penyesuaian diri dan perlaksanaannya sahaja.
Seseorang itu disebut rabbani apabila beliau mempunyia hubungan yang rapat dengan Allah, arif tentang agama dan kitab Allah serta mengajarkannya.
Friman Allah yang bermaksud:
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani kerana kamu selalu mengerjakan al-kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (Ali Imran: 79)
SUDUT-SUDUT RABBANI
1. Rabbani dari sudut matlamat dan tumpuan.
Rabbani dari sudut matlamat dan tumpuan membawa erti bahawa Islam menjadikan hubungan yang baik dengan Allah dan mendapat keredaanNya sebagai matlamat terakhir kehidupan manusia. Inilah matlamat hidup insan dalam kehidupannya di dunia.
Sekalipun manusia mempunyai matlamat-matlamat lain, baik yang bersifat keperibadian dan yang bersifat kemasyarakatan, namun matlamat terakhir bagi kehidupan manusia ialah untuk mendapat keredaan Allah.
Kesemua ajaran Islam, baik yang menyangkut dengan aqidah, muamalah, akhlak dan lainnya adalah bertujuan untuk menyiapkan manusia supaya menjadi hamba Allah semata-mata.
Manusia tidak dicipta hanya untuk makan, minum dan bergembira ria di dunia ini. Manusia dicipta untuk satu tujuan yang tinggi dan mulia. Ada orang mengatakan. "Sibodoh hidup untuk makan, yang bijak makan untuk hidup". Oleh itu pasti ada matlamat dari kehidupan manusia. Apakah matlamat itu?
