Wednesday, 23 November 2011

Membina Minda Muslim Super



Umat ini menjadi super kerana memiliki ciri dan sikap yang mengagumkan. Antara ciri yang dimiliki oleh mereka ialah beriman, berilmu, memiliki nilai yang betul, berperanan dengan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran serta bersikap adil sesama manusia. Mereka juga mampu menghadapi dan menangani kesemua situasi dan keadaan secara positif. 


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi bersabda, "Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan berlaku melainkan ke atas orang mukmin sahaja. Jika dia mendapat kesenangan maka dia bersyukur, dan itu baik baginya, dan apabila dia mendapat kesusahan dia bersabar, dan hal itu baik baginya" . 


Maksudnya, dalam setiap keadaan, tidak kira senang ataupun susah, golongan mukmin tetap berpegang kepada prinsip, tetap sujud mengabdikan diri kepada Allah, tetap mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, tetap berbangga dengan ajaran Islam, tidak terbabas atau hanyut mengikut arus, dan di samping itu mampu menjadikan setiap situasi sebagai kesempatan untuk meledakkan kejayaan dan kegemilangan. Sikap sebegini sememangnya merupakan satu sikap yang super.





Islam Bercahaya Ketika Barat dalam Kegelapan
Ciri-ciri yang dinyatakan sebelum ini, iaitu, beriman, berilmu, memiliki nilai yang betul, berperanan dengan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran serta bersikap adil sesama manusia, menjadikan umat ini satu golongan yang gilang-gemilang. Malah pada suatu ketika apabila umat Islam berada di era kegemilangan Barat berada di Zaman Kegelapan (Dark Ages). 
Bertrand Russell, dalam bukunya History of Western Philosophy (Simon & Schuster, Inc., 1972), berkata,
“Penggunaan istilah Zaman Kegelapan untuk menceritakan keadaan yang berlaku antara tahun 699 hingga 1000 Masihi menunjukkan bahawa kita terlampau memberi tumpuan kepada dunia Eropah Barat.... Sebenarnya ketika itu, tamadun Islam yang agung berkembang dengan pesatnya dari India ke Sepanyol. Bagi kita tamadun hanya berada di Eropah Barat sedangkan pandangan ini merupakan satu pandangan yang sempit.. 
Memang benar, ketika Barat berada di Zaman Kegelapan perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New HomeLibrary, New York, 1943) dengan berkata, “Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah.
Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar. .

Tokoh Barat Anak Murid Tokoh Islam 
Memandangkan ilmu dan tamadun umat Islam lebih super daripada Barat di Era Kegelapan dahulu, tokoh-tokoh barat, tanpa segan silu, datang ke bumi Islam (iaitu bumi Andalus) untuk menjadi anak murid kepada tokoh-tokoh Islam. 
Robert Briffault dalam bukunya The Making of Humanity (Reprinted, Lahore, Pakistan, 1980), dalam bab Dar al-Hikmet, berkata, Di bawah konsep toleransi agama golongan Kristian hidup penuh kebebasan di bawah pemerintahan khalifah Islam di Sepanyol.. Pelajar-pelajar Kristian dari pelbagai pelosok Eropah datang ke negara Arab ini untuk belajar. 
Alvaro, seorang paderi kanan di Cordova, menulis pada abad ke-9 Masihi, Kesemua pelajar Kristian yang
berbakat ini mengetahui bahasa dan kesusasteraan Arab. Mereka membaca dengan penuh minat buku-buku karangan orang Arab dan berasa amat kagum dengan kesusasteraannya. . 
Gerbert of Aurillac membawa beberapa bahan tentang astronomi dan matematik daripada Sepanyol untuk mengajar anak-anak muridnya tentang alam serta sistem cakerawala.



Seterusnya Robert Briffault berkata,Tokoh yang paling banyak mempopularkan tulisan-tulisan Arab ialah Gerard 
of Cremona. Beliau tinggal di Cordova selama lima puluh tahun di zaman pemerintahan Islam. Dalam masa itu beliau 
berjaya hasilkan tidak kurang dari enam puluh bahan terjemahan dari bahasa Arab, antaranya tulisan al-Haitham dalam 
bidang astronomi. Seorang lagi tokoh dari Barat, Michael Scot, sering kali berulang-alik ke Cordova bertujuan untuk

mendapatkan manuskrip untuk diterjemahkan. Arnold of Villeneuve dan Raymond Lully, rakan-rakan Roger Bacon, 
belajar di Sepanyol dan mengajar di Montpellier. Campanus of Novara belajar matematik di Cordova dan mengajar di 
Vienna. Lebih daripada itu sekolah-sekolah untuk menterjemahkan buku-buku Arab telah dibina di Toledo oleh Alfonso 
the Sage.  


Tamadun Islam Mempengaruhi Yahudi 
Golongan Yahudi juga mendapat faedah daripada umat super ini. Berhubung dengan ini Robert Briffault berkata dalam 
The Making of Humanity, Sikap toleransi orang-orang Islam di bawah pemerintahan khalifah juga dirasai oleh 
orang-orang Yahudi. Mereka kemudiannya memperkembangkan budaya hidup orang-orang Islam ke kawasan-kawasan 
ceruk yang tidak mengenali erti tamadun... Mereka membina banyak sekolah, antaranya sekolah Kimhis dan Ben Esra di 
Narbonne, dan di situ mereka mengajar ilmu sains Arab di samping menterjemahkan pelbagai buku karangan orang-orang 
Arab... Doktor-doktor Yahudi yang dilatih oleh orang-orang Arab mengembangkan pengamalan dan pengajaran 
ilmu perubatan ini di Eropah di sepanjang Zaman Pertengahan dahulu... 


Islam dan Nilai Kemanusiaan Sejagat 
Dunia banyak mempelajari daripada budaya dan cara hidup umat Islam. Malah ajaran Islam yang super merangsang 
beberapa perubahan positif di dunia. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffault dalam The Making of Humanity. 
Beliau berkata, Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan 
manusia termasuk hak untuk bersuara merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi Perancis, 
Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika dan perjuangan ke arah kemerdekaan di negara-negara Amerika Latin.

Sebenarnya konsep-konsep ini bukanlah hak cipta masyarakat Barat. Ia sebenarnya adalah ajaran yang terdapat dalam 
al-Quran yang dihayati oleh orang-orang Islam. Kemudiannya konsep-konsep ini mempengaruhi masyarakat Eropah. 
Besar kemungkinan, jika tidaklah kerana orang-orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama 
sekali. 


Ajaran dan Acuan Super 

Antara sebab umat Islam menjadi hebat ialah ajarannya yang agung. Ajaran ini bernama Islam dan ia merupakan satu 
ajaran yang lengkap lagi sempurna. Dengan sempurnanya Islam sempurnalah nikmat yang Allah kurniakan kepada 
manusia. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 3, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untuk 
kamu dan telah Aku sempurnakan nikmatku ke atasmu dan telah Aku redai Islam menjadi agamamu.. 

Dalam ayat ini Allah mengatakan bahawa Islam merupakan satu nikmat dan bukannya bala bagi manusia. Berhubung 
dengan perkara ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, “(Islam) merupakan nikmat yang 
paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak 
memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas nabi Muhammad).  

Baru-baru ini, dalam majalah Western Minaret dimuatkan sebuah artikel bertajuk Islam: The Next American Religion. Ia 
ditulis oleh seorang penulis Amerika yang bernama Michael Wolfe. Dalam artikel ini beliau berkata bahawa Islam adalah 
agama yang paling sesuai dengan rakyat Amerika pada hari ini. Beliau sendiri telah memeluk agama Islam. 

Kenyataan seumpama ini menunjukkan ajaran Islam mempunyai keunikan dan kehebatannya. Inilah acuan yang berjaya 
melahirkan satu umat super yang mengagumkan sebelum ini. 


Kehebatan Bermula di Minda

Secara dasarnya acuan Islam tidak akan dapat dihayati tanpa kefahaman yang betul tentangnya. Justeru pembentukan 
umat yang super bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda.


Justeru, dalam surah Muhammad ayat 19 Allah berfirman, "Ketahuilah sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan 
Allah, dan mintalah ampun atas dosa-dosamu dan dosa-dosa mukminin dan mukminat."


Ayat ini menarik disebabkan ia menekankan tentang 'pengetahuan' sebelum 'keyakinan dan


perlakuan'. Berhubung dengan ayat ini, dalam al-Jamik li ahkam al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan, 
Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang kelebihan ilmu dan beliau menjawab, Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (surah Muhammad :19) yang bermula dengan 'ketahuilah' sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, surah al-Anfal ayat 28 dan dalam surah al-Anfal ayat 41."

Justeru, minda merupakan pintu gerbang kepada segala kehebatan. Sebagai langkah pertama mari kita buka minda kita bagi mengenali acuan super yang bernama Islam.


Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
http://danialzainalabidin.com 





(Dapatkan buku terbaru Dr. Danial bertajuk MINDA MUSLIM SUPER)